Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, seramai 13 murid terbabit telah dihantar ke Hospital Port Dickson bagi menerima rawatan. 

"Sebelum kejadian dipercayai terdapat kerja-kerja meracun di kawasan berhampiran sekolah dan tidak lama kemudian pelajar mula menunjukkan simptom keracunan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dikerahkan memberi bantuan sejurus menerima maklumat pada pukul 2.13 petang.

Menurut beliau, seramai enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 turut dihantar ke lokasi kejadian.

"Kami terima panggilan daripada pihak hospital untuk bantuan membersihkan dan menyahkan racun daripada anggota badan mangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, polis terlibat dalam memantau situasi sekolah serta murid terlibat dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu hari ini. - K! ONLINE