Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, bilangan doktor pakar dalam pelbagai bidang kepakaran atau subkepakaran di seluruh negara yang berdaftar dengan Daftar Pakar Kebangsaan sehingga Disember lalu ialah seramai 9,632 orang.

Bagi  penempatan doktor pakar di Sarawak, jumlahnya meningkat 43.57 peratus kepada 346 orang setakat 31 Januari lepas berbanding 241 orang pada 2014, katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.

Dr Hilmi berkata, untuk bidang neurosurgeri yang pada masa ini hanya disediakan di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu, terdapat keseluruhan lapan doktor pakar.

Katanya, kementerian itu juga telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan bilangan doktor pakar di hospital kerajaan termasuk meningkatkan pengambilan pegawai perubatan menjalani program sarjana kepakaran dengan Hadiah Latihan Persekutuan. - Bernama