Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata antara faktor berlaku keciciran ialah masalah kewangan, kurang minat terhadap pembelajaran, penceraian (dalam keluarga) serta masalah disiplin.

Beliau yang memangku tugas portfolio Pendidikan berkata mengikut pecahan, terdapat 68,725 murid di Batu Pahat dengan seramai 170 daripadanya merupakan murid tercicir pelajaran, Johor Bahru (120,454 murid, 1,412 tercicir), Kluang (46,543 murid, 424 tercicir), Kota Tinggi (33,606 murid, 1 tercicir) dan Mersing (13,440 murid, 101 tercicir).

"Muar pula merekodkan 41,814 murid dengan 379 tercicir, Pontian (29,324 murid, 197 tercicir), Segamat (32,753 murid, 282 tercicir), Kulai (55,398 murid, 357 tercicir), Pasir Gudang (114,830 murid, 1,038 tercicir) serta Tangkak (23,145 murid, 138 tercicir)," katanya menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini berhubung murid keciciran pelajaran.

Mohd Khuzzan berkata bagi mengatasi masalah tersebut pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Penyiasatan Murid Cicir (JPMC), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), badan bukan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia memainkan peranan masing-masing.

Ia termasuk mengenalpasti keluarga bermasalah, mengadakan motivasi, program kerjaya serta pendidikan alternatif kepada murid. - Bernama