Pengerusinya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, gerakan itu akan tampil dengan imej berbeza berbanding perhimpunan dianjurkan mereka sebelum ini.

"Ini adalah perhimpunan aman dan yang paling menariknya perhimpunan kali ini telah pun mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Buat apa kita hendak mengadakan protes demostrasi, sebaliknya solidariti perhimpunan ummah untuk mempertahankan Perlembagaan itu sendiri," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Ummah Membantah ICERD Peringkat Parlimen Sungai Besar di Bangunan Umno Bahagian Sungai Besar, di sini malam tadi.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, BN yang sebelum ini memerintah negara sejak 61 tahun kemerdekaan telah membawa rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa hidup dalam suasana aman dan harmoni.

"Semua kaum bebas mencari rezeki di negara ini,tanpa ada sebarang halangan, tetapi mengapa hanya beberapa bulan setelah tumbangnya kerajaan BN, isu ini ada?," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mempelawa MCA untuk turut sama menyertai perhimpunan tersebut sebagai tanda berterima kasih kepada kaum Melayu yang mengundi parti tersebut ketika mewakili BN.

Ini berikutan dalam Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebelum ini sebulat suara meluluskan resolusi memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

"MCA perlu hadir untuk mengucapkan terima kasih kepada orang Melayu yang selama ini sangat bermurah hati dan bertolak ansur untuk mengundi calon MCA dan datang beramai-ramai esok," katanya.  - K! ONLINE