Dalam kejadian pukul 3 petang itu, pemandu kereta jenis Toyota Vios, Che Wan Zaidi Che Wan Mat Zin, 31, yang bekerja sebagai pegawai Imigresen dari Kampung Santong, Paka, Terengganu turut terselamat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian kemalangan berlaku ketika ketiga-tiga kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kota Bharu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian sebuah bas ekspres dinaiki 17 penumpang telah membrek secara mengejut kerana cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti secara tiba-tiba.

“Kereta Toyota Vios dipandu pegawai Imigresen tersebut yang berada di belakang turut menekan brek mengejut sebelum merempuh belakang bas ekspres terbabit.

“Namun, sebuah bas ekspres lain dari arah sama dinaiki 16 penumpang gagal membrek dan merempuh belakang kereta Toyota Vios itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Taufik, dua pemandu bas ekspres itu yang masing-masing berusia 49 tahun dan 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, anggota polis terpaksa bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kesesakan lalu lintas sejurus kejadian kemalangan itu.

“Kereta Toyota Vios yang dipandu pegawai Imigresen itu remuk teruk di bahagian depan dan belakang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya. -K! ONLINE