Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, operasi khas yang dijalankan krew Kapal Maritim Jujur (KM Jujur) diketuai Leftenan Komander Maritim Tan Ah Bik antara pukul 7.30 pagi hingga 10.30 pagi.

“Operasi turut menyaksikan adegan anggota kita mengejar suspek berkenaan kerana sikap degil tiga tekong yang cuba meloloskan diri.

“Bot nelayan asing yang menceroboh dan mencuri hasil khazanah laut negara turut bertindak merempuh kapal Maritim Malaysia walaupun arahan berhenti dikeluarkan agensi penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap bot mempunyai seramai enam hingga 16 orang awak-awak dan tekong.

“Kita juga turut mendapati tiga kanak-kanak bawah umur berusia 13 hingga 16 tahun dan yang paling tua beusia 45 tahun. Jumlah keseluruhan nelayan yang ditahan ialah 33 orang.

“KM Jujur mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memintas bot nelayan asing itu yang memerlukan ketangkasan anggota untuk menawan setiap bot,” katanya.

Ismail berkata, ketiga-tiga bot dan nelayan asing terbabit ditahan di jeti Maritim Malaysia Kelantan untuk sisatan lanjut.

“Nilai rampasan bot, peralatan dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM1.3 juta dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Tiga kanak-kanak yang ditahan akan menjalani pemeriksaan gigi bagi memastikan umur sebenar sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Ismail berkata, hasil soal siasat turut mendapat maklumat bahawa terdapat kapal induk yang memunggah hasil tangkapan nelayan asing untuk membawa pulang ikan dan sotong bagi tempoh tiga hingga lima hari sekali. - K! ONLINE 


TOREK SULONG