Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kes itu antara lainnya melibatkan pencerobohan ke atas kawasan istana seperti yang berlaku di Istana Bukit Serene, baru-baru ini serta pencerobohan terhadap  loji air dan loji tenaga.

"Polis Johor memandang serius insiden ini kerana menerusi peruntukan undang-undang, perbuatan menceroboh kawasan-kawasan larangan adalah satu kesalahan yang serius dan pihak penguat kuasa boleh mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan beliau itu susulan tindakan seorang lelaki berumur  31 tahun yang menceroboh dan cuba mencuri kereta Ferrari milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di kawasan Istana Bukit Serene, di sini, pada Khamis lalu.

Menurut Mohd Khalil, mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 298 Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, boleh ditangkap pihak berkuasa dan tidak boleh dijamin. - Bernama