Beliau berkata, ini disebabkan oleh beberapa sebab seperti tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan serta pengurusan dan kualiti yang lemah akibat masalah kewangan.

Sebagai contoh, Idris menarik perhatian kepada kolej yang tidak mempunyai pelajar yang mencukupi atau pensyarah yang berkelayakan dan sesetengah kolej pula meminta untuk menghentikan operasi secara sukarela.

"Apabila kita mendapati mereka beroperasi tanpa mematuhi keperluan, mereka perlu menutup operasi, kita tidak boleh menjejaskan kualiti pendidikan,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penarafan kepada IPTS yang layak pada majlis penarafan Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) 2016/2017 di sini hari ini.

Idris berkata, kualiti kolej swasta di negara ini tidak akan dikompromi dan ini terbukti melalui pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) yang berkuat kuasa pada 28 November lalu untuk mengawal selia IPTS. - Bernama