Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, sebanyak 320 ekor kambing jenis boer tempatan untuk dijadikan ibadah korban dirompak sebelum dibawa lari menggunakan sebuah lori.

Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, ketika kejadian terdapat dua orang pekerjanya warga Indonesia berusia 39 dan 42 tahun menjaga ternakan di ladang berkenaan yang sudah beroperasi lebih 12 tahun itu.

Menurutnya, pada malam kejadian, kedua-dua pekerjanya didatangi suspek yang bersenjatakan parang sebelum mangsa diikat dan dikurung di dalam kontena yang dijadikan tempat rehat.

"Kesemua suspek memakai topeng dan bersarung tangan serta bersenjatakan parang panjang kemudiannya membawa lari 320 ekor kambing ternakan dengan menggunakan lori.

"Nasib baik hanya sedikit dibawa lari kerana di ladang itu terdapat 2,200 ekor kambing yang kesemuanya adalah untuk ibadah korban nanti.

"Syukur pekerja saya tidak mengalami kecederaan serius cuma cedera ringan semasa bergelut dengan suspek," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Osman berkata, dia mendapat tahu kejadian itu selepas pekerja menghubunginya memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan polis pada pukul 12.45 pagi semalam.

Menurutnya, selama lebih 12 tahun beroperasi kejadian rompakan sudah beberapa kali berlaku namun perompak gagal membawa lari kambing dan tiada kerugian dilaporkan.

Dalam pada itu, Osman berkata, pihaknya tetap akan beroperasi seperti biasa dan pada 25 Julai ini akan membuka pendaftaran untuk tempahan kambing korban dan akikah di bilik pameran di Osman Goat Farm Kangkar Tebrau di sini.

"Kejadian ini merupakan cabaran dalam perniagaan, saya yakin akan ada rezeki yang lebih baik untuk kami dan seperti kebiasaan kami akan menawarkan Program Kambing Akikah RM1 kepada pelanggan yang layak," katanya. - K! ONLINE