Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran terbabit didahului Ketua Polis Kedah, Datuk Abd. Rahim Jaafar yang akan bertukar jawatan sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman.

“Sementara Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor pula akan bertukar jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman.

“Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Datuk Ramli Hassan akan menggalas jawatan baharu sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Bukit Aman di jabatan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kekosongan jawatan Mazlan pula akan diambil alih oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin dengan memangku pangkat Komisioner Polis sementara Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Datuk T. Narenasagaran akan bertukar sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

“Sementara Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman, Datuk Azisman Alias pula dinaikkan pangkat dari Senior Asisten Komisioner dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.

“Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia pula akan bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik), Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.

“Ketua Inspektorat Penerbangan Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman, Datuk Mohd. Rafique Ramli Ariffin akan memegang jawatan baru sebagai Komander Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis,” jelasnya. - K! ONLINE