Mereka akan melanjutkan pelajaran ke universiti seperti University of Oxford, Imperial College London, University College London dan London School of Economics and Political Science di United Kingdom, University of Michigan di Amerika Syarikat,  Technical Ludwig-Maximilians Universitat Munchen di Jerman dan Nanyang Technological University di Singapura. 

Amir Khaled Farid, 20, begitu teruja menerima surat tawaran itu daripada Mahathir sendiri yang merupakan antara idolanya dalam bidang politik selain bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Beliau yang akan melanjutkan pelajaran dalam kursus Falsafah Politik dan Ekonomi di London School of Economics and Political Science itu berhasrat untuk menjadi ahli politik yang mampu mengubah landskap politik negara supaya lebih matang dan lebih fokus kepada isu berbanding sentimen emosi.

"Ini merupakan satu motivasi dan saya akan pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian untuk membantu membangunkan negara," katanya kepada pemberita selepas menerima surat tawaran itu.

Menurut Mara dalam kenyataan media sempena majlis hari ini, program WTU itu merupakan pinjaman pelajaran Mara kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti-universiti terbaik dunia.

Program pinjaman pelajaran Mara telah diwujudkan sejak 1966 dan telah menaja seramai 523,940 orang pelajar, katanya.

Mara memaklumkan, bagi tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion di bawah program itu dan setakat Mei, sejumlah 37,909 pelajar telah mendapat manfaat mengikuti pengajian di institusi dalam dan luar negara. 

Program WTU adalah kesinambungan dan penambahbaikan daripada program sedia ada dan pada tahun ini, Mara memperluaskan pilihan universiti kepada negara bukan berbahasa Inggeris seperti Jepun, China, Korea, Rusia dan Switzerland, katanya.

Pemilihan universiti-universiti berkenaan dirujuk kepada kedudukan universiti terbaik yang dikeluarkan oleh organisasi pengiktirafan peringkat antarabangsa setiap tahun, kata Mara. - Bernama