Syed Izz Zahiruddin Syed Kamaruddin, 25, yang tidak dapat berjalan sejak dari kecil akibat demam panas tidak menyangka perkenalannya dengan isteri, Nur Najihah Mohamad, 24,  pada 2013 di laman Facebook akhirnya menyatukan mereka di jinjang pelamin.

Menurut Syed Izz Zahiruddin, dia sudah lama merancang untuk menyertai program tersebut sebelum mengambil kata sepakat bersama pasangan dengan mendaftarkan penyertaan mereka pada awal tahun ini.

"Mengikut perancangan awal, kami ingin melangsungkan pernikahan pada tahun lalu namun setelah berbincang dengan kedua-dua pihak keluarga, mereka beri kebenaran kepada kami untuk menyertai program perkahwinan secara beramai-ramai ini.

"Saya gembira kerana majlis hari ini berjalan lancar selain turut bersyukur kerana program seumpama ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan pasangan muda yang ingin berkahwin," katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Rusila hari ini.

Program Walimatul Urus Perdana 2018 Parlimen Marang anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Mengimbau kembali detik perkenalan, Nur Najihah berkata, perhubungannya bersama Syed Izz Zahiruddin hanya bermula sebagai rakan biasa sebelum bertukar serius kira-kira tiga tahun yang lalu.

"Sifat peramah dan mudah mesra bersama orang sekeliling membuat saya tertarik hati dengan suami," ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, program tersebut dijalankan secara serentak di seluruh lapan parlimen membabitkan seramai 190 pasangan.

"Sebanyak RM800,000 diperuntukkan pada majlis yang sudah masuk siri ketiga penganjurannya," katanya. - K! ONLINE