Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, mereka yang terdiri daripada 10 buah keluarga itu mula dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan sejak pukul 8.30 malam tadi.

"Mereka termasuk tiga bayi lelaki dan perempuan itu masih berada di pusat pemindahan banjir berkenaan hari ini dan jika cuaca baik kemungkinan mereka akan pulang ke rumah masing-masing tengah hari ini.

"Seramai 12 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat bertugas membantu mereka di pusat pemindahan berkenaan sejak semalam," katanya di sini hari ini.

Manakala pusat pemindahan banjir di Surau Haji Hashim di Bukit Kecil, Sungai Pinang di Balik Pulau dekat sini telah ditutup pukul 10 malam tadi selepas banjir kilat di kawasan berkenaan surut, dan kesemua 33 mangsa banjir daripada sembilan keluarga pulang ke rumah masing-masing.

"Pihak kami masih membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua mangsa banjir dalam keadaan selamat dan menurut kenyataan daripada Jabatan Mateorologi Malaysia, keadaan cuaca di Pulau Pinang akan bertambah baik dan tidak akan berlaku hujan lebat berterusan dalam masa terdekat," katanya.

Semalam, hujan berterusan sejak pagi telah menyebabkan beberapa kawasan antaranya Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Sungai Ara, Teluk Bahang dan Sungai Pinang di Balik Pulau mengalami banjir kilat.

Hujan bermula pukul 8.30 pagi hingga 4 petang itu menyebabkan puluhan rumah di kawasan berkenaan mengalami banjir kilat dan dinaik air antara 0.3 meter(m) hingga 0.6m.

Sementara itu, seorang mangsa banjir di Teluk Kumbar, Mohd. Zakaria Awang, 52, berkata, banjir kali ini lebih teruk berbanding bulan lepas kerana air yang masuk dalam rumahnya lebih satu meter.

"Air banjir mula masuk ke rumah saya bermula pukul 3 petang berikutan limpahan dari sungai berhampiran, waktu itu saya ada di rumah kerana tidak turun ke laut, cuaca tidak berapa elok sejak awal pagi," katanya yang bekerja sebagai nelayan.

"Bulan lepas rumah kami turut dilanda banjir kilat dan banyak barangan rosak, jadi kali ini saya mengambil langkah segera dengan memindahkan barangan lebih awal. Cuma saya harap pihak berkuasa dapat buat sesuatu bagi mengatasi masalah banjir kilat kerana setiap kali hujan lebat, kawasan Teluk Kumbar pasti berlaku banjir kilat," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir di Bayan Lepas, Siti Husna Abdul Rahim,42, berkata, penduduk di situ tidak menolak kemungkinan beberapa projek pembangunan di kawasan itu menyebabkan berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan sejak beberapa  bulan lepas. - Bernama