Manusia jika berumur 61 tahun sudah pasti dianggap golo­ngan warga emas. Ini kerana jika ia berkhidmat di sektor swasta atau kerajaan umur sebanyak itu dianggap baru sahaja bersara daripada perkhidmatan.

Bagaimanapun jika ia seorang ahli perniagaan, umur seba­nyak itu mungkin belum lagi meletakkan dirinya untuk bersara.

Bagi sebuah negara seperti Malaysia, kemerdekaan seusia 61 tahun dianggap masih muda kerana banyak negara se­perti Amerika Syarikat dan negara-negara maju yang lain telah mencetak kemerdekaan lebih awal lagi. Di rantau ini sendiri negara-negara se­perti Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, Laos 1949, Myanmar 1948 malah Kemboja pada 1953.

Walaupun negara-negara serantau ini merdeka lebih awal, ba­nyak lagi yang mereka ketinggalan malah masih lagi terikat dengan status negara sedang membangun atau berpendapatan rendah.

Begitu juga dengan Malaysia, walaupun tahun kemerdekaan pada 1957, momentum kemajuannya agak deras baik di segi fizikal mahupun mentaliti rakyatnya. Di segi ekonomi, pendapatan perkapita rakyat Malaysia adalah lebih tinggi.

Bagaimanapun seperti yang dinyatakan, umur 61 tahun dalam konteks usia merdeka sesebuah negara, perjalanan adalah masih panjang dan berliku.

Walaupun rakyat dan negara ini telah mencapai pelbagai bentuk kejayaan, Malaysia masih dianggap negara sedang memba­ngun. Masalah kemiskinan dan pembangunan di sana sini masih lagi membelenggu. Begitu juga ketidakseimbangan pendapatan antara penduduk luar bandar dan bandar.

Bagaimanakah sikap rakyat Malaysia? Adakah sematang usia 61 tahun? Jawapannya sudah pasti tidak jika mengambil kira umur rakyatnya yang umumnya masih muda. Jika ditanya golongan ini bagaimanakah bentuk rakyat Malaysia yang ideal pada usia 61 tahun atau semuda 30 tahun, sudah pasti jawapan yang diberi berbeza-beza.

Justeru, sebahagian besar orang muda tidak pasti dan tidak menganggap hari kebangsaan itu sebagai sesuatu yang signifikan di segi pencapaian dan maruah negara.

Pada mereka, kehidupan adalah lebih penting untuk mencari nafkah dan mempertingkat mutu kehidupan daripada memikirkan makna 31 Ogos yang lebih diingati sebagai cuti umum semata-mata. Cuti umum 31 Ogos hanya dihabiskan dengan menonton ranca­ngan sarkis (suatu masa dahulu) atau hiburan di rumah atau menonton siaran langsung perarakan hari kebangsaan di televisyen jika tidak terlajak tidur. Pada malam cuti umum, pelesit rempit pula menganggapnya sebagai syurga me­nguji ‘power’ jentera masing-masing.

Padahal golongan ini lupa, kesan daripada mencapai kemerdekaan itulah mereka merasai nikmat dan mutu kehidupan. Sungguh kurang daripada kalangan mereka untuk me­ngenang kemerdekaan dan mengekalkannya apatah lagi mencari maknanya.

Pada zaman moden tanpa sempadan kini kemerdekaan boleh hilang bukan melalui peperangan semata-mata malah melalui belenggu ekonomi dan budaya.

Sesama Kita - Dengan hanya beberapa hari sahaja menje­lang 31 Ogos, aura sambutannya bagaikan lesu. Tidak ba­nyak kelihatan Jalur Gemilang dikibar di rumah-rumah, kende­raan, bangunan pejabat atau pengangkutan awam walaupun dianggap perbuatan klise. Acara-acara teater atau pementasan bertemakan kemerdekaan dan kecintaan terhadap negara apatah lagi.

Lalu bagaimanakah suasana yang lesu di segi fizikal dan pemikiran dalam menyambut hari kemerdekaan ini dapat dizahirkan dengan lebih bermakna - sebagaimana bermaknanya 31 Ogos dalam kalangan mereka yang ada kaitan dengan perjua­ngan mendapatkan kemerdekaan, bukan sekadar berlalu sebagai hari cuti umum semata-mata. Menghayati kemerdekaan sepatutnya sepanjang tahun malah sepanjang hayat.

31 Ogos, sambutan sepanjang hayat