Komander Pasukan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua mangsa culik terbabit telah dilarikan ke negara jiran, Filipina.

Menurut Hazani, sehingga kini tiada tuntutan dibuat oleh penculik bagi membebaskan kedua-dua mangsa.

"Kita telah melakukan rondaan di 300 buah pulau di sekitar Esszone. Maklumat setakat ini tiada sebarang tanda mereka (penculik) bersembunyi di sekitar kawasan ini (Esszone).

"Penculik berkemungkinan telah membawa kedua-dua mangsa ke Filipina berikutan lokasi kejadian berdekatan dengan sempadan negara berkenaan," katanya di sini hari ini.

Hazani berkata, pihak berkuasa negara telah memohon kerjasama daripada pihak Filipina dan Indonesia untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian penculikan di perairan negara.

"Kita juga telah memohon bantuan daripada Polis Antarabangsa," jelasnya.

Terdahulu, semalam dalam kejadian di Pulau Bod Gaya, Semporna, dua lelaki masing-masing juragan dan pembantu bot diculik kira-kira pukul 1 pagi.

Pemangku Pesuruhjaya Sabah, Datuk Omar Mammah yang mengesahkan kejadian tidak menolak kemungkinan penculikan didalangi kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR). - K! ONLINE