Kesemua murid itu meneruskan pembelajaran di kelas sementara selepas 22 bilik darjah mereka yang terletak di aras bawah ditenggelami banjir lumpur dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Pengarah Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, Mojuntin Ebin berkata, setiap bilik darjah tersebut dipenuhi lumpur setebal empat hingga enam inci selepas banjir surut kelmarin.

"Pihak sekolah telah bertungkus-lumus membersihkan lumpur di bilik yang terjejas untuk kegunaan pelajar pada hari ini sejak Sabtu dan Ahad lalu.

"Malangnya, lumpur tebal dan sukar untuk kita membersihkan bilik tersebut. Jadi kita menempatkan murid yang terjejas di kelas sementara termasuk di dewan serbaguna," katanya di sini hari ini.

Motunjin berkata, PPD telah mengarahkan pihak sekolah supaya segera melakukan bancian terhadap kerosakan di sekolah ini.

"Pada peringkat awal kita mendapati kerosakan akibat banjir di sekolah ini melibatkan buku teks, meja dan kerusi murid," jelasnya.

Selain SK Kibabaig, tiga lagi sekolah yang turut terjejas ialah SK Saint Theresa Inobong, SK Saint Joseph dan SK Sugud.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Jenifer Lasimbang berharap kerajaan negeri segera mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah banjir di daerah ini.

Katanya, penilaian secara menyeluruh terutama di kawasan sekolah perlu dilakukan untuk memastikan suasana pembelajaran yang selamat dalam kalangan murid di sekolah. - K! ONLINE