Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tidak dinafikan masalah penyalahgunaan dadah di negara ini sudah hampir ke tahap kemuncaknya dan jika tiada sebarang tindakan diambil, kemungkinan akan menghadapi keadaan seperti di Columbia.

"Sudah bertahun lamanya dadah dinyatakan sebagai musuh nombor satu negara dan sekarang jumlah mereka yang menyalahgunakan dadah semakin bertambah, bukan hanya melibatkan orang awam malah anak buah saya sendiri (anggota polis) turut terlibat.

"Setiap minggu ada saja anggota serta pegawai yang ditahan kerana mengambil syabu, ganja dan sebagainya. Sekiranya warga PDRM sendiri tidak 'bersih', saya tidak nampak bagaimana kita dapat mengawal bahana dadah ini," katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Roadshow Autisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, jumlah pegawai serta anggota PDRM yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah amat membimbangkan dan sesuatu harus dilakukan bagi memerangi gejala tersebut habis-habisan.

"Perbincangan sedang dilakukan dengan pihak-pihak terlibat bagi menangani masalah ini (dadah) dan tidak dinafikan mereka (sindiket dadah) semakin lama semakin tersepit sehingga ada yang terpaksa beroperasi di rumah-rumah teres untuk memproses dadah selepas markas operasi mereka diserbu satu persatu.

"Kalau kita tidak bertindak sekarang, hancur negara kita ini," tegas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut memaklumkan bahawa seluruh warga PDRM perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam menangani kes melibatkan individu autisme dan lain-lain kelainan upaya termasuk Down Syndrome.

"SOP ini telah dilancarkan pada Mac lalu dan tanggungjawab saya adalah memastikan semua warga PDRM memahami dan mematuhinya.

"Sebaran dokumen (SOP) ini telah meluas dan tiada alasan untuk mereka (warga PDRM) tidak mengetahuinya. Tindakan boleh diambil sekiranya mereka mendakwa tidak dimaklumkan mengenainya," katanya.

Tambah beliau, sebuah pusat autisme akan turut ditubuhkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur menjelang Januari tahun hadapan menerusi kerjasama tiga agensi iaitu Yayasan Pengaman Malaysia, Genius Kurnia di bawah Kementerian Pendidikan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. - K! ONLINE