Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Kamaruddin Md. Din berkata, dalam semua serbuan terbabit juga seramai lapan lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 46 tahun ditahan.

“Serbuan pertama hasil kerjasama Bahagian Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada 23 Julai lalu dilakukan di jeti nelayan di Parit Sakai Laut dekat Muar.

“Menerusi serbuan itu, sebanyak 10,800 pil ekstasi, 4,970 biji pil erimin 5 dan syabu seberat 8kg serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamaruddin menambah, serbuan pertama membawa kepada satu lagi serbuan dari sindiket yang sama di sekitar Taman Melati di Muar.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 10,962 pil ekstasi dan syabu seberat 11 gram dirampas selain sebuah kereta jenis Proton Iswara,” katanya.

Beliau memberitahu, dalam serbuan berasingan pda 26 Julai lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK di sekitar Setia Tropika dekat Kempas, sebanyak 3kg dadah jenis syabu dirampas bersama sebuah kereta Volkswagen.

“Serbuan terakhir dilakukan di Taman Adda Height pada hari sama berjaya merampas 11.4kg dadah jenis syabu. Turut dirampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal Honda Dash,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Kamaruddin memberitahu, kesemua dadah yang dirampas boleh memenuhi keperluan penagih seramai 72,098 orang.

“Kesemua suspek dipohon reman dibawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah bagi siasatan dijalankan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - K! ONLINE