Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan WPKLP Dr. Zainudin Abdul Wahab berkata, angka itu menunjukkan peningkatan dengan purata 195 kes mingguan sepanjang 10 minggu kebelakangan ini.

Beliau berkata, kes tertinggi dicatatkan pada minggu lepas dengan 278 berbanding 224 kes pada minggu sebelumnya, iaitu 24.1 peratus.

"Walaupun jumlah itu masih rendah berbanding tahun lepas, namun bilangan kes dari minggu ke minggu menunjukkan peningkatan. Ia suatu yang merisaukan sekiranya kita tidak dapat mengawalnya.

"Kita sasarkan kes denggi dapat dikurangkan kepada 120 sahaja setiap minggu. Setiap individu perlulah memainkan peranan masing-masing dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk," katanya ketika ditemui Bernama selepas Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat WPKLP 2018 yang dirasmikan Anggota Parlimen Batu P. Prabakaran di Kepong, hari ini.

Aktiviti gotong-royong yang dijalankan secara serentak di seluruh negara hari ini melibatkan kerjasama bersepadu dengan pihak kementerian dan agensi-agensi lain termasuk pelajar dan orang awam bagi membendung peningkatan kes denggi. - Bernama