Menerusi program berkenaan pada tahun ini sebanyak 55 ekor lembu telah dikorbankan hasil sumbangan pelbagai pihak.

Pada hari ini, sebanyak 35 ekor lembu lagi  dikorbankan manakala 20 ekor lagi telah  dikorbankan pada hari pertama Hari Raya Aidiladha, Ahad lalu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkifle Ab. Rahman berkata, program korban perdana kali ini adalah yang terbesar pernah diadakan. 
     
Katanya, penganjuran program oleh Maik sendiri dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pada kali ini sumbangan lembu terbanyak ialah daripada Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur sebanyak 30 ekor dan Maik sebanyak 12 ekor. 
     
“Selain itu, turut menyumbang lembu ialah Masjid Abu Bakar Al-Sidiq Bangsar sebanyak lapan ekor, Jakoa tiga ekor, dan masing-masing seekor daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan seekor daripada orang perseorangan,” katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas Program Ibadat Korban Perdana Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Betis, di sini hari ini. 
      
Zulkifle berkata, lebih uniknya program itu disertai kaum Orang Asli apabila  mereka turut menyembelih, melapah dan memproses ketulan daging sebelum diagihkan. 
     
Katanya, tujuan Maik untuk mengadakan program itu ialah untuk melatih Orang Asli  melakukan ibadah korban dan menikmati suasana Hari Raya Aidiladha.
  
“Program ini mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat setempat termasuk penduduk Orang Asli daripada Kampung Sungai Rual, Jeli. 
     
“Kita akan terus melatih Orang Asli yang berketurunan Temiar, Bateq, Jahai dan Mendriq dalam mengerjakan ibadah korban yang turut dibantu oleh guru agama Maik sendiri,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli suku kaum Jahai dari Kampung Sungai Ruai, Jeli, Abdul Rashid Bernas, 40, berkata, setiap tahun dia bersama rakan-rakan menyertai program Korban Perdana.

Katanya, Orang Asli semakin berilmu dalam menjalankan ibadah korban apabila terdapat dalam kalangan mereka sudah pandai menyembelih dan melapah daging lembu.

“Di samping dapat makan daging korban, kita juga dapat mengeratkan hubungan antara suku kaum Orang Asli.

“Apabila semuanya sudah tahu dan pandai mengerjakan ibadat korban itu, maka tahun akan datang kita boleh melakukannya sendiri,” katanya. - K! ONLINE