Serbuan dilakukan di sekitar Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, seorang pengurus syarikat pengangkutan berusia 35 tahun telah diculik di Bandar Baru Sungai Buloh pada 12 Disember tahun lalu. 

Katanya, mangsa diculik oleh sekumpulan lelaki menggunakan sebuah kereta Produa Myvi ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah selesai bekerja. 

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan bagaimanapun telah dibebaskan pada 3 Januari lalu di Bemban, Melaka setelah wang tebusan berjumlah RM500,000 yang diminta suspek dibayar,"katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Mazlan berkata, susulan laporan yang dibuat, polis berjaya menahan tiga lelaki pada 3 Januari lalu dan soal siasat serta maklumat awam kemudian membawa kepada penahanan 26 lagi suspek.

Katanya, keseluruhan tangkapan membabitkan seramai 29 orang iaitu 24 orang lelaki termasuk dua warga Bangladesh dan lima perempuan.

"Dalam serbuan ini sejumlah RM124,400 wang tebusan telah berjaya dirampas semula dan dua buah akaun bank berjumlah RM14,000 telah dibekukan. 

"Kita juga merampas sepucuk pistol palsu jenis revolver 3.8, 450 butir peluru hidup 9 milimeter dan 40 butir peluru hidup winchester selain enam buah kenderaan jenis Proton Waja, Iswara, Ford Ranger, Perodua Myvi dan Viva," ujarnya. - K! ONLINE