Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bantuan tersebut akan dibayar secara dua peringkat iaitu sebanyak RM300 pada akhir tahun ini dan baki RM300 lagi pada awal tahun depan.

"Atas cadangan kementerian, jemaah Menteri pada 12 Disember lalu bersetuju RM164,783,400 diperuntukkan bagi pemberian bantuan kepada 274,639 pekebun kecil getah RISDA yang berhadapan dengan beban sara hidup berikutan pendapatan mereka terjejas semasa musim tengkujuh.

"Kesukaran para pekebun kecil getah RISDA telah mendapat perhatian dan keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meluluskan Bantuan Musim Tengkujuh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, bantuan itu melibatkan seramai 255,997 pekebun kecil getah yang mengusahakan kebun sendiri dan 18,642 penoreh bukan pemilik yang mengusahakan tanah berkeluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

"Kementerian akan menyalurkan peruntukan tersebut kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia RISDA.

"Semoga pemberian bantuan ini dapat meringankan beban yang ditangung oleh pekebun kecil getah RISDA yang terjejas punca pendapatan mereka," katanya. - K! ONLINE