Upacara yang dikenali sebagai Op Te Auraki itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Richard Mann.

Dalam pada itu, Upacara Menandatangani Dokumen Rasmi Penyerahan 27 Rangka dan warga New Zealand dilakukan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abdidin dan Panglima Tentera Darat New Zealand, Mejar General Peter Kelly.

Turut hadir Ketua Setiausaha Pertahanan, Datuk Halimi Abdul Manaf.

Seramai 400 orang warga Kementerian Pertahanan dan wakil delegasi New Zealand menghadiri upacara penyerahan keranda dan disempurnakan Tim Istiadat Angakatan Tentera Malaysia (ATM) yang diketuai seorang pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat.

Rangka-rangka tersebut melibatkan anggota tentera New Zealand yang terkorban semasa penglibatan sebelum Perang Dunia Kedua, era darurat pertama yang tertumpu di Perak dan sempadan Malaysia-Thailand sehingga tahun 1966.

Dianggarkan hampir 4,000 Tentera New Zealand berkhidmat di Malaya sebelum ditugaskan ke Vietnam pada tahun 1967.

Pada tahun 2017, Kerajaan New Zealand telah mengumumkan perubahan polisi dan berhasrat membawa pulang rangka anggota tentera New Zealand yang dikebumikan di luar negara di antara tahun 1955 hingga 1971 dengan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan New Zealand.

Proses pengecaman rangka, analisis forensik dan ekskavasi telah dilaksanakan mulai 3 Julai sehingga 12 Ogos 2018 di tiga penempatan utama iaitu Kubur Perang Komanwel (CWG) Kem Terendak, Melaka melibatkan 16 rangka anggota tentera New Zealand, empat rangka anggota tentera termasuk seorang warga New Zealand di CWG, Cheras, Kuala Lumpur serta tujuh rangka di CWG Kamunting, Perak.

Kerja-kerja ekskavasi, analisis forensik, proses penyelarasan dan badan pengecaman bermula sejak 21 Mac lalu melibatkan seramai 558 pakar dan petugas dari pelbagai agensi dalam dan luar negara diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Dr. Mohd. Ilham Haron yang merupakan pakar pergigian forensik Bahagian Perkhidmatan Pergigian ATM.

Kesemua rangka tersebut dibawa pulang ke Auckland, New Zealand dengan menaiki Pesawat Boeing 787 milik Air New Zealand. - K! ONLINE