Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, notis tersebut dikeluarkan terhadap premis yang tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak bomba.

“Antara kesalahan tersebut adalah sistem pendawaian yang tidak kemas, ruangan memasak, pembelajaran dan berehat disatukan serta laluan kecemasan yang tidak sempurna.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 premis mematuhi notis yang telah dikeluarkan oleh bomba manakala sebuah premis telah ditutup secara sukarela oleh pemiliknya kerana tidak dapat memenuhi aspek keselamatan yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api kepada Pusat Tahfiz di Ibu Pejabat JBPM Kuala Lumpur hari ini.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 18 pusat tahfiz menerima 54 alat pemadam api yang disumbangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan JAKIM, Azizan Muhammad.

Khirudin menambah, daripada jumlah keseluruhan sebanyak tujuh premis mematuhi semua aspek keselamatan yang ditetapkan.

“Tenaga pengajar mereka juga diberikan tempoh masa tertentu bagi memastikan semua aspek yang disenaraikan dapat dipatuhi bagi mengoptimumkan tahap keselamatan kepada peringkat yang paling tinggi.

“Kita akan buat pemeriksaan semula dari semasa ke semasa selepas notis diberikan untuk memeriksa segala aspek keselamatan yang telah disenaraikan oleh pihak JPBM,” ujarnya. - K! ONLINE