Dalam Op Noda bermula pukul 2 hingga 5 petang itu, wanita yang ditahan berusia antara 24 hingga 39 tahun warga Bangladesh, Indonesia dan Thailand, manakala dua lagi adalah wanita tempatan berusia 26 dan 33 tahun. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi itu telah dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Melaka Tengah membabitkan 38 pegawai serta anggota. 

"Hasil risikan, sepasukan anggota dan pegawai D7 telah membuat serbuan Op Noda di tiga buah hotel bajet iaitu dua daripadanya di Jalan Munshi Abdullah dan sebuah lagi di Jalan Kilang Melaka. 

"Hasil serbuan itu, seramai 26 wanita termasuk dua warga tempatan ditahan kerana menawarkan khidmat seks," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Afzanizar berkata, seramai tujuh lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh yang merupakan penjaga premis berusia antara 28 hingga 64 tahun turut dicekup. 

"Selain itu, dua pelanggan lelaki warga Bangladesh masing-masing berusia 18 dan 31 tahun juga ditahan dalam serbuan tersebut. 

"Hasil siasatan awal, kegiatan khidmat seks itu telah dijalankan sejak pertengahan Jun tahun ini," katanya. 

Katanya, kesemua yang ditahan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK) kerana terbabit kegiatan persundalan selain Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) serta kesalahan-kesalahan imigresen mengikut Seksyen 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)Akta Imigresen. - K! ONLINE