Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pemberian air percuma itu akan memberi manfaat  kepada lebih 30,000 keluarga di seluruh negeri Perak.

"Saya jelaskan sekali lagi bahawa pemberian air percuma ini adalah untuk golongan sasar iaitu kepada keluarga yang memerlukan.

"Kalau sebelum ini hanya untuk 20 meter padu air dan pentadbiran sekarang ini telah menambahkan sehingga 25 meter padu air kepada semua  golongan sasar dan juga jumlah keluarga yang bakal menerima manfaat ini lebih daripada 30,000 keluarga di seluruh negeri perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini.  

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Chenderiang  berkata diskaun sebanyak 10 peratus bil air turut diberikan kepada semua pengguna domestik di Perak  sebagai  menghargai sokongan rakyat serta sebagai langkah untuk mengurangkan beban kos sara hidup. 

"Penambahbaikan skim air percuma dan pemberian diskaun ini akan bermula pada bulan depan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan telah melaksanakan kenaikan pangkat secara khas  untuk penyandang (KUP) bagi membolehkan pegawai untuk kekal di jawatan asal dengan diberikan gaji serta  emolumen di gred kenaikan pangkat. 

Namun begitu, beliau berkata terdapat isu-isu perkhidmatan yang timbul akibat daripada kenaikan  pangkat secara KUP.   

"Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meluluskan untuk mewujudkan Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) kepada penjawat-penjawat awam negeri yang berkelayakan.

"Pembayaran ETK ini akan dibuat secara bulanan mengikut beban tugas dengan nilai sebanyak  RM125  hingga RM150," katanya. - Bernama