Mereka yang merupakan warga Thailand dan Vietnam berusia 20 hingga 37 tahun itu diberkas dalam serbuan selama empat jam yang berakhir pada pukul 3 pagi. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, seorang daripada yang ditahan didapati positif dadah manakala lima lagi tidak memiliki dokumen. 

"Pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan datang ke negara ini sebagai pelancong dan menjalankan aktiviti pelacuran dengan kadar harga antara RM70 sehingga RM165 bagi setiap pelanggan. 

"Kita turut menahan tiga warga asing masing-masing dari Iran, Bangladesh dan Vietnam serta dua lelaki tempatan yang dipercayai pelanggan serta seorang penjaga premis berkenaan," katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi di Bandar Hilir di sini. 

Katanya, kesemua mereka yang mendakwa bekerja sebagai tukang urut itu akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya. 

Mengulas lanjut pembasmian aktiviti tidak bermoral itu di pusat bandar negeri ini, Chee Leong yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana berkata, pihaknya akan merujuk perkara tersebut dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan sitaan bangunan lama. 

"Setakat ini kita kesan sebanyak 10 lokasi bangunan lama yang menjadi sarang untuk aktiviti tidak bermoral pelacuran dan akan meminta pihak PBT untuk mengambil tindakan sitaan terhadap premis terbabit. - K! ONLINE