Dalam operasi bermula pada pukul 10 malam itu telah disertai seramai 50 pegawai dan 322 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd. Zani Che Din berkata, seramai 143 individu yang terdiri dari warga tempatan dan asing berusia 18 hingga 50 tahun telah diperiksa.

"Dari jumlah tersebut, seramai 64 individu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan seramai 24 PATI yang terdiri daripada 13 wanita serta 11 lelaki telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Kita juga telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan yang mempunyai rekod jenayah berhubung kes pecah rumah," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas selesai operasi terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini semalam.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap 10 individu mendapati enam daripadanya positif pelbagai jenis dadah.

"Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 35 saman trafik atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai topi keledar dan tidak mempunyai lesen memandu.

"Operasi susulan akan dilakukan dalam masa terdekat di kawasan-kawasan tumpuan bagi membanteras kebanjiran PATI dan penyalahgunaan dadah," jelasnya. - K! ONLINE