Presiden Kesatuan Pemandu Bas Nadi Putra Noorhisham Nuruddin berkata untuk itu, kesemua pemandu terbabit akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak syarikat esok setelah kata sepakat dicapai dalam pertemuan mereka dengan wakil Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menurutnya MoU tersebut yang disediakan oleh KSM antara lain bertujuan melindungi hak pemandu bas terbabit.

"Kami bersetuju tandatangan MoU itu kerana kami tidak mahu menyusahkan sesiapa. Demi memikirkan pengguna bas Putrajaya dan keluarga, kami setuju terima balik tugas kami, walaupun maruah kami sudah jatuh, hati kami sakit diperlakukan sedemikian," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil KSM, di sini hari ini.

Terdahulu, syarikat pengurusan Nadi Putra, Pengangkutan Awam Putrajaya Travel (amp) Tours Sdn Bhd, mengeluarkan notis makluman menyatakan perkhidmatan itu tidak beroperasi hari ini kerana menghadapi masalah dengan pemandu yang tidak mahu bekerja.

Noorhisham bagaimanapun menafikan dakwaan pemandu mogok, sebaliknya mereka diberhentikan berikutan laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengenai syarikat itu.

"Pagi tadi kami datang untuk menjalankan tugas rutin tiba-tiba kami ditahan oleh bahagian sumber manusia dan keselamatan yang bertanya nama kami.

"Nama yang ada dalam senarai diarah ambil dan tandatangan surat penamatan tugas. Itu sahaja," katanya.

Tanpa mahu mendedahkan butiran laporan kepada SPRM itu, Noorhisham berkata Kesatuan Pemandu Bas Nadi Putra meminta kerajaan mengambil alih semula pengurusan bas awam tersebut yang telah dipindah milik kepada syarikat swasta sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dilaporkan memberi jaminan akan membincangkan sama ada Perbadanan Putrajaya mengambil alih semula perkhidmatan bas itu atau memenuhi tuntutan Nadi Putra melalui cara lain.

Perkhidmatan bas Nadi Putra dilaporkan semakin merosot apabila gagal mematuhi jadual perjalanan, selain banyak bas didakwa mengalami kerosakan dipercayai kerana gagal diselenggara dengan baik. - Bernama