Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen Selangor bersama Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula kira-kira pukul 2 petang.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, operasi selama lebih sembilan jam itu memberi fokus kepada warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekitar negeri ini.

Katanya, operasi khas itu untuk mengesan PATI yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di negeri ini terutamanya di taman-taman perumahan dan juga premis perniagaan.

"Sebanyak 23 pondok pengawal di tujuh daerah diserbu dan daripada jumlah itu seramai 81 pengawal keselamatan warga asing di periksa. 

"Hasilnya kita berjaya menahan 23 orang lelaki kerana tidak mempunyai dokumen dan pas kerja yang sah. Mereka terdiri daripada 11 warga Nepal, 10 warga India dan dua Indonesia,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Omran berkata, kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun itu kemudiannya di bawa ke Pejabat Penguatkuasa Imigresen Selangor di Seksyen 14 di sini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa serta Peraturan 39(b) Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan. - K! ONLINE