Susulan itu, beliau berkata, tiga premis melibatkan dua taska dan sebuah pusat hiburan keluarga diarah tutup sementara bagi memberi laluan kepada kakitangan kesihatan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan premis tersebut.

"Pusat hiburan itu adalah kawasan popular di mana kanak-kanak meluangkan banyak masa bermain di situ, dan siasatan kami mendapati terdapat kes jangkitan wabak HFMD di premis tersebut.

"Jika kuman tidak dibasmikan dengan betul di tempat-tempat itu dan kebersihan premis terbabit tidak dikekalkan, ia boleh memberi ancaman kesihatan kepada orang awam pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bagi memastikan tiada peningkatan kes berkenaan, beliau berkata, pihaknya dan pengurusan taska terbabit bekerjasama rapat bagi memantau jangkitan wabak tersebut.

"Penutupan sementara terhadap sebarang premis tidak sepatutnya dilihat secara negatif, tetapi sebagai peluang untuk belajar daripada Jabatan Kesihatan langkah perlu dilakukan dalam menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat kepada pengguna mereka," katanya.

Kedua-dua taska berkenaan diarah tutup, masing-masing pada Selasa dan hari ini, manakala pusat hiburan keluarga itu diarah tutup, semalam. - Bernama