Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian wabak itu, melalui Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

"Kejadian itu membabitkan 21 pelajar lelaki berusia antara 13 dan 17 tahun daripada sejumlah 660 pelajar dan kakitangan yang terdedah dengan wabak tersebut. Semua kes adalah stabil dan diberi rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wabak disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus itu boleh mengakibatkan pesakit mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan sakit serta bengkak kelenjar air liur.

Beliau berkata boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur, serta sentuhan dengan objek tercemar, namun pesakit boleh sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi selepas tempoh dua hingga tiga minggu, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, imunisasi beguk diberikan dalam bentuk vaksin tiga serangkai, iaitu Measles-Mumps-Rubella (MMR), sejak 2002.

"Berdasarkan jadual imunisasi kebangsaan terkini mulai April 2016, vaksin ini diberikan sebanyak dua kali iaitu dos 1 pada usia sembilan bulan, manakala dos 2 pada usia satu tahun," katanya.

Beliau turut mengingatkan agar pesakit beguk diasingka dan tidak berkunjung ke tempat awam bagi mengelak jangkitan merebak, selain segera mendapatkan rawatan awal. - Bernama