Rampasan kenderaan yang diseludup dari Jepun dan United Kingdom itu dibuat menerusi dua serbuan berasingan di dua lokasi berbeza di Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abdul Hamid berkata, rampasan itu merupakan yang terbesar melibatkan kenderaan mewah di Lembah Klang setakat tahun ini.

Menurutnya, menerusi serbuan pertama, Bahagian Penguatkuasaan Unit III (LTAKL) Zon Tengah berjaya menyita lapan buah kereta mewah pelbagai jenama seperti Toyota, Mercedez Benz dan BMW dianggarkan bernilai RM340,000 dengan jumlah duti cukai sebanyak RM644,000.

"Serbuan kedua pula menemui 13 buah kereta mewah seperti Lamborghini dan Toyota Vellfire dianggarkan bernilai RM3.8 juta dengan jumlah duti sebanyak RM7.5 juta.

"Kesemua kereta itu dibelum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan disita kerana didapati mengikrar usia atau tarikh pengilangan kereta yang tidak benar.

"Siasatan awal juga mendapati tujuh buah kereta yang diimport berusia kurang setahun semasa pengimportannya manakala selebihnya melebihi usia lima tahun," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo FCZ di sini hari ini.

Azimah berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. - K! ONLINE