Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik berkata, salah satu daripada tiga premis itu yang terletak di dalam kebun kelapa sawit di Ayer Tawar itu diserbu dan diperiksa pihak KPDHEP sekitar pukul 2.30 petang semalam. 

“Risikan dan maklumat awal mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan perniagaan mengilang dan membekalkan minyak pelincir tiruan yang memakai jenama popular. 

“Dalam serbuan itu, kita berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Tambah Khalid, permis itu juga telah diserbu dua kali sebelum ini namun mereka tidak serik dan masih meneruskan kegiatan tersebut. 

“Malah mereka dengan beraninya memasarkan minyak tiruan tersebut menggunakan cap dagang salah sebuah syarikat terkenal. 

“Mereka menjual minyak pelincir tiruan tersebut di Perak dan Selangor selain dibekalkan kepada agensi kerajaan,” katanya. 

Katanya, dua lagi premis yang diperiksa merupakan kedai menjual alat ganti jentera berat yang mendapat bekalan dari premis berkenaan dan mereka memasarkan kepada pengguna setempat. 

“Semua 209 tong minyak pelincir tiruan dan dokumen berkaitan dirampas untuk tindakan lanjut. 

“Seramai 21 pegawai penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya dan Perak terlibat dalam ketiga-tiga serbuan tersebut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(a) dan 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan minyak pelincir tiruan yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.  - K! ONLINE