Kesemua mereka yang diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai hubungan dengan beberapa kumpulan pengganas iaitu Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Jamaah Ansharut Daulah (JAD), The Rise Of Jundullah dan Daesh yang aktif di Iraq dan Syria.

Mereka yang ditangkap itu berusia dalam lingkungan 16 hingga 50 tahun yang terdiri daripada tujuh rakyat tempatan, tujuh warga Filipina, lima warga Indonesia dan seorang warga sebuah negara di utara Afrika.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, salah seorang suspek warga Filipina berusia 50 tahun yang ditahan di ibu kota pada 6 Disember lalu didapati mempunyai hubungan persaudaraan dengan kumpulan pengganas ASG.

“Suspek disyaki merekrut warga Filipina di sekitar Kepong di sini untuk menyertai Kumpulan ASG di Filipina.

“Seorang lagi suspek warga Afrika berusia 31 tahun yang ditahan pada 15 Disember lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pula pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada September tahun lalu kerana terlibat dengan kumpulan Daesh di Iraq dan Syria. Dia menyelinap masuk ke negara ini pada awal bulan ini dari sebuah negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berasingan di KLIA juga, seorang lelaki warga tempatan, 46, yang merupakan bekas guru di sebuah sekolah rendah di Kuching, Sarawak diberkas pada 1 Disember lalu.

Jelasnya, suspek adalah ahli kumpulan WhatsApp, The Rise of Jundullah yang terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan ke Festival The Better Beer dan tiga ahlinya telah diberkas pada 10 Oktober lalu di Pasir Puteh, Kelantan.

Tambahnya, suspek turut merancang untuk menyusup masuk ke Selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas yang beroperasi di sana.

“Pada 10 Disember lalu, kita menahan enam warga tempatan dan lima warga Filipina termasuk seorang remaja berusia 16 tahun. Kesemua suspek terlibat merancang menyertai kumpulan pengganas di Selatan Filipina.

“Selain itu, pada hari yang sama kita turut menahan suspek Filipina di Masai, Johor yang dikehendaki pihak berkuasa negaranya kerana terlibat dalam aktiviti keganasan di sana,” ujarnya.

Fuzi berkata, PDRM turut menahan seorang warga Indonesia,24, yang merupakan pemimpin kanan Kumpulan JAD yang merancang mengumpul dana di Malaysia sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai Daesh.

“Suspek turut terlibat dalam insiden pengeboman di Bandung, Indonesia pada Julai lalu sebelum menyelinap masuk ke negara ini untuk mengelak ditahan pihak berkuasa negaranya.

“Pada 4 Disember lalu pula, empat warga Indonesia berusia antara 31 hingga 38 tahun juga telah ditahan di Sandakan, Sabah dengan kerjasama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan didapati memasuki Malaysia secara haram dari Tarakan dan Nunukan, Indonesia serta turut merancang untuk ke Selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas di sana,” katanya.

Kesemua 20 suspek kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA. - K! ONLINE