Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Leong Bian Seng, 61, dari Dungun, Terengganu telah dibebaskan semalam dan dijangka tiba di tanah air malam ini.

"Seorang lagi nelayan, Chia Kee Chan, 52, dari Sekinchan, Selangor dibebaskan hari ini dan dijangka tiba esok," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Elaun Khas Pesawah Dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kok Lanas di sini, hari ini.

Ahmad Shabery, berkata pembebasan nelayan itu hasil kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November tahun lalu di Kuching, Sarawak.

"Saya percaya pembebasan ini adalah berita gembira buat keluarga nelayan terlibat yang tentunya sedang menunggu kepulangan mereka. Bagi pihak kementerian, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas usaha pembebasan ini," katanya. - Bernama