Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa yang dikenali sebagai K. Amaran, 42, dan anak lelakinya, A.Pugalenthi, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.

"Kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu dipercayai berlaku ketika Amaran yang menunggang motosikal cuba memotong bas berkenaan yang berada di sebelah kiri jalan namun tidak berjaya apabila motosikalnya melanggar belakang bas tersebut mengakibatkan dia dan anaknya tercampak ke atas jalan," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Shahurinain berkata, setakat petang ini pemandu bas berkenaan belum lagi tampil membuat laporan polis. - Bernama