Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, suntikan tonik baharu tersebut bagi memastikan kejayaan parti terbabit dalam memenangi PRK tersebut. 

Katanya, secara purata seramai 200 jentera daripada setiap negeri termasuk dari Dewan Pemuda, Dewan Muslimah, Dewan Ulama dan Dewan Perhimpunan Penyokong Pas selepas melaporkan diri semalam. 

"Kita mengakui bahawa Pilihan Raya lalu, majoriti (yang dimenangi Pakatan Harapan) adalah besar. Namun kita akan berusaha sebaik mungkin bagi merapatkan jurang berdasarkan situasi terkini. 

"Bagi memudahkan gerak kerja itu, kita telah membahagikan kepada empat zon kesemuanya," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa induk PRK DUN Seri Setia di sini hari ini.

Turut hadir adalah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Negeri, Sallehen Mukhyi.

Menurut Tuan Ibrahim, kehadiran gerak kerja itu akan memantapkan lagi kempen parti tersebut selepas menerima sokongan dan bantuan daripada parti UMNO, MIC, Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) serta beberapa NGO. 

Jelas beliau, Pas mendapat maklumbalas positif sepanjang lapan hari berkempen ini daripada pengundi dan tidak menolak kemungkinan mampu menarik masyarakat Cina di DUN tersebut untuk memilih parti itu. 

"Kita melihat beberapa indikator ditunjukkan memperlihatkan bahawa masyarakat Cina cukup marah terhadap pembohongan yang dilakukan oleh PH dalam manifesto mereka. 

"Ini adalah isu besar kerana pemimpin tidak berbohong susulan itu merupakan jiwa dan hati budi masyarakat terbabit yang mahu janji ditunaikan tanpa membuat sebarang helah serta alasan," katanya. - K! ONLINE