Angka itu menunjukkan peningkatan bilangan umat Islam di negeri ini yang berpeluang mengerjakan ibadah haji berbanding 2,548 jemaah tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, para jemaah dari Terengganu akan bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Arab Saudi.

"Penerbangan pertama bagi musim ini dijadualkan pada 14 Julai depan melibatkan seramai 483 jemaah manakala penerbangan terakhir pula dijangka pada 15 Ogos.

"Pada musim ini, pihak TH akan berusaha memperbaiki perkhidmatan yang ditawarkan bagi memastikan keselesaan para jemaah memandangkan cuaca di Padang Arafah dan Mina dijangka sangat panas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1439 Hijrah peringkat Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Tamadun Islam di sini hari ini. - K! ONLINE