Pengarah JKM negeri, Mohammad Hazam Ismail berkata, lebih RM10,000 diagihkan kepada setiap penerima mengikut tahap kerosakan rumah masing-masing berdasarkan penilaian pegawai JKM.

"Bagi seluruh Perlis, sebanyak 55 mangsa terlibat dalam kejadian ribut pada 14 April lepas dengan bantuan kewangan yang diagihkan JKM kepada setiap mangsa berjumlah lebih RM37,000," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man melawat beberapa rumah yang terjejas akibat ribut di Kampung Behor Lalang dekat sini, hari ini.

Mohammad Hazam berkata, kebanyakan rumah itu mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan bantuan JKM diberikan bagi  meringankan beban mangsa untuk membaiki  kediaman mereka. - Bernama