Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan polis pada 10 Mei lalu daripada seorang peniaga wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket itu.

Menurutnya, skim pelaburan itu tidak mempunyai nama dan mereka yang menyertainya akan menerima pulangan tetap tanpa sebarang kerugian.

“Selepas pembayaran dilakukan, mangsa tidak menerima pulangan seperti dijanjikan ahli sindiket berkenaan.

“Seramai 18 individu dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan terbabit membabitkan kerugian keseluruhan RM1.3 juta” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, bertindak laporan itu pihaknya berjaya menahan lima wanita warga tempatan bermula 9 Jun lalu sehingga Khamis lalu.

“Sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka dan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Dua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala dua lagi akan dituduh di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan di Mahkamah Klang esok (hari ini),” katanya.

Jelas beliau, seorang lagi suspek ditahan sebelum ini akan dijadikan saksi bagi kes berkenaan. - K! ONLINE