Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, pengilang bertindak demikian kerana akur dengan arahan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini yang menggesa penutupan premis dilakukan.

"Apabila pemantauan dijalankan kita dapati 17 pengilang tersebut sudah menghentikan operasi mereka dan sudah memotong bekalan elektrik dan ada yang batalkan penyewaan mereka dan dalam proses pindah keluar.

"Mereka akur dengan arahan itu selepas perbincangan dan pembentangan dasar kerajaan dalam beberapa pertemuan sebelum ini dan mereka rasakan tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. Mereka rasa perlu tutup, malah mereka juga sedar pencemaran yang berlaku adalah berpunca daripada operasi kilang-kilang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama 13 pengusaha kilang pemprosesan plastik kitar semula dan 10 wakil Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri, Simon Ooi Tze Min.

Kok Yew berkata, sehingga kini, terdapat lima kilang memproses plastik kitar semula berlesen sedang beroperasi, manakala enam permohonan lesen yang dibuat sebelum ini masih dalam pertimbangan PBT.

Mengulas isu tapak pelupusan sampah haram, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak bertindak sendiri 'membongkar' aktiviti di tapak pelupusan tersebut sebaliknya membuat aduan secara rasmi kepada PBT untuk tindakan.

Katanya, tindakan individu atau kumpulan tertentu membongkar lebih awal akan menyukarkan pihak penguat kuasa mengesan pihak yang membuang sampah untuk diambil tindakan. - Bernama