Pengarah Kesihatan negeri Dr Zainudin Mohd Ali berkata selain itu, sebanyak 1,607 notis Seksyen32B Akta Makanan 1983 yang boleh dikompaun bernilai RM326,350, telah dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

"Sebanyak 6,495 premis makanan telah diperiksa dalam tempoh itu. Jenis-jenis kesalahan yang kerap dilakukan adalah tidak memakai apron dan penutup kepala, tiada sijil latihan pengendali makanan, tidak mengambil suntikan anti tifoid, tidak mendaftarkan premis makanan dan pelbagai kesalahan lain," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya premis yang diarah tutup kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu kesalahan dan tahap kebersihan yang sangat rendah serta perlu diambil tindakan segera untuk meningkatkan tahap kebersihan mereka.

Beliau menasihatkan pengendali makanan agar mengambil perhatian serius serta sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa menyediakan hidangan kepada pelanggan, terutamanya premis yang beroperasi 24 jam.

"Jabatan Kesihatan serta pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau serta akan memastikan mana-mana aduan yang diterima daripada pelanggan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan diadakan siasatan serta tindakan yang sewajarnya," katanya.

Dr Zainudin berkata dua daripada lima premis yang diperiksa di Seremban semalam diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen11 Akta Makanan 1983, manakala sembilan notis yang boleh dikompaun mengikut Seksyen 32B akta sama telah dikeluarkan bernilai RM1,850.

"Seramai 13 pegawai Jabatan Kesihatan negeri terlibat dalam operasi itu. Fokus utama operasi ini adalah penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang menekankan aspek penilaian tahap kebersihan premis serta lain-lain kesalahan bawah akta dan peraturan tersebut," katanya. - Bernama