Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kesemua suspek terdiri daripada 13 lelaki dan tiga perempuan berusia 21 hingga 59 tahun ditahan sekitar bandar raya ini bermula dari tarikh mangsa yang berusia 57 tahun itu dibebaskan.

"Siasatan mendapati lima daripada yang ditahan merupakan ahli kongsi gelap Gee Tiong Seng dan Ah Hor, seorang daripadanya merupakan ketua kongsi gelap Gee Tiong Seng.

"Kumpulan ini bergerak aktif di kawasan Tun Aminah di sini dan perjudian merupakan aktiviti utama mereka dan kumpulan ini telah bergerak aktif dalam kes jenayah pemerasan sejak 2010," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknha juga berjaya menemukan semula dan merampas wang tunai sebanyak RM92,567 dan Dollar Singapura $5,190 (RM108,188) selain merampas dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan penjenayah terbabit.

Beliau berkata, motif penculikan mangsa yang juga warga tempatan itu dipercayai bagi mendapatkan wang tebusan bagi membayar hutang.

Katanya, siasatan lanjut mendapati lima suspek itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, pihaknya masih memburu saki-baki anggota kumpulan itu.

Motif penculikan katanya, adalah untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang dan mangsa menjadi sasaran kerana dipercayai seorang ahli perniagaan yang mempunyai banyak wang. - K! ONLINE.