Majlis bermula selepas kesemua kanak-kanak tersebut menerima sumbangan sagu hati daripada Pegawai Penyelaras DUN Manir, Yusof Awang Hitam sebelum mereka dimandikan secara beramai-ramai menggunakan pili bomba yang diselaraskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hiliran di sini.

Menurut Yusof, majlis khatan beramai-ramai itu merupakan program tahunan peringkat DUN Manir yang bermula sejak tahun 2008.

"Majlis seperti ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat khususnya ibu bapa.

"Kita berjaya mengumpulkan seramai 156 kanak-kanak untuk dikhatankan secara beramai-ramai bagi membantu meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa kerana majlis seperti ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM30,000 termasuk keperluan ubat-ubatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Kesemua kanak-kanak tersebut selamat dikhatankan oleh sepasukan enam pembantu perubatan yang diketuai oleh seorang doktor pakar Telinga, Hidung dan Mulut (ENT), Hospital Regency, Johor Bahru, Dr. Rushdan Ismail yang mengambil masa kira-kira lima jam. - K! ONLINE