Kumpulan terbabit yang rata-rata menyarungkan jersi kebangsaan dihantar oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini.

Riad ketika ditemui pemberita pada majlis itu berkata, AirAsia gembira dapat memainkan peranannya membawa penyokong skuad negara menyaksikan perlawanan tersebut.

"Kami percaya Ultras Malaya adalah 'ekor' Harimau Malaya dan ini cara kami membantu mereka dan peminat yang lain memberi sokongan kepada pasukan negara.

"Laungan dan sorakan mereka pastinya akan membakar semangat Harimau Malaya dan mengingatkan pasukan bahawa seluruh rakyat Malaysia berada di belakang skuad negara malam ini," katanya.

Dalam pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil yang penuh sesak dengan penyokong Harimau Malaya pada Sabtu lepas, anak buah Tan Cheng Hoe gagal membolosi gawang 'Gajah Perang' sekalipun menguasai perlawanan itu yang berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, Lokman Hakim memuji AirAsia selaku syarikat tempatan kerana turut memainkan peranan dalam membantu sukan tanah air.

"Saya harap lebih banyak syarikat swasta akan memberikan sokongan kepada sukan tanah air agar kita terus berkembang di peringkat antarabangsa," katanya.

AirAsia menunjukkan komitmen yang tinggi kepada sukan Malaysia menerusi kempen #DARETODREAM yang menyaksikan syarikat penerbangan itu memberi sokongan kepada atlet negara di semua peringkat dengan satu matlamat iaitu meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara tersohor lain.

Antara atlet negara yang menerima sokongan AirAsia Malaysia selama ini ialah jaguh lumba basikal Mohd. Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa serta ratu terjun Leong Mun Yee dan pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamid. - Bernama