Saya menyertai pasukan editorial terawal Kosmo! pada 1 Julai 2004 sebagai Pengarang Rencana. Ketika itu, Kosmo! dipimpin oleh Hamzah Sidek sebagai pengarang pertamanya.

Akhbar baharu ini lahir bersama karakter, pendirian dan falsafahnya sendiri. Antaranya ia tidak boleh meletakkan cerita-cerita yang bukan-bukan dalam penerbitannya seperti sebuah akhbar pesaing.

Sebaliknya, Kosmo! perlu me­nyumbang kepada kelahiran masyarakat yang berfikiran progresif sesuai de­ngan taglinenya, ‘Suara Kontemporari’. Karakter lain akhbar Kosmo! ialah adil, seimbang, berhemah, pelbagai kaum, berjiwa muda, trendy dan yang paling penting, berani me­negakkan kebenaran.

Pada waktu itu, hampir kesemua staf editorial dan grafik Kosmo! adalah pekerja baharu. Semuanya muda-muda, berusia awal 20-an. Bilangan mereka tidak sampai 100 orang - angka yang pa­ling sedikit berbanding tenaga kerja akhbar-akhbar lain di Malaysia.

Mereka mempunyai tempoh sebulan sahaja untuk menjalani latihan, dari tarikh mula melapor diri bertugas pada 1 Ogos sehinggalah 30 Ogos 2004. Keluaran sulung Kosmo! adalah pada 31 Ogos tetapi akhbar ini dilancarkan sehari lebih awal oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Daripada hanya bertatih, Kosmo! akhir­nya menjadi akhbar harian Melayu nombor satu di Malaysia pada hujung tahun 2015, kira-kira 11 tahun selepas pelancarannya.

Dengan penambahbaikan kan­dungan dari semasa ke semasa, Kosmo! menjadi akhbar paling pantas berkembang di Malaysia. Daripada statistik 105,000 naskhah sehari, edaran Kosmo! terus melonjak sehingga pernah dicetak 250,000 naskhah sehari pada tahun 2011.

Mengikut data terkini Audit Bureau of Circulations (ABC) pada Jun lalu, Kosmo! kekal sebagai akhbar harian bahasa Melayu No. 1 di Malaysia de­ngan purata edaran sebanyak 136,408 naskhah sehari, diikuti Utusan Malaysia (95,769 naskhah), Harian Metro (85,626 naskhah) dan Berita Harian (43,026 naskhah).

Selangor menjadi negeri paling tinggi edaran akhbar Kosmo! iaitu seba­nyak 46,478 naskhah diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (20,632 naskhah) serta Kedah (10,611 naskhah).

Kejayaan ini hanya datang selepas satu dekad kumpulan pertama petugasnya berhempas-pulas ‘bermain untuk menang perlawanan’ dengan berbekalkan semangat ‘ubah arang jadi intan’.

Sebahagian kejayaan ini adalah hasil idea dan kerja keras Pengarang-Pe­ngarang Kosmo! iaitu Hamzah, diikuti Badrul Azhar Abdul Rahman, Datuk Baharom Mahusin dan sekarang, Lokman Othman. Namun, perjalanan 15 tahun Kosmo! tidak akan sempurna tanpa kece­kalan petugas editorial dan pemasaran Kumpulan Utusan.

Berkhidmat di Kosmo! memberikan perasaan yang menyeronokkan dan suatu prestij lebih-lebih lagi apabila akhbar ini mendapat pelbagai pengiktirafan.

Pada tahun 2004, wartawan Kos­mo!, Mohd. Faizal Zakaria memenangi Anugerah Kajai yang merupakan anugerah tertinggi kewartawanan negara melalui laporannya, Pencemaran Air di Lembah Klang. Laporan itu me­ngenai bekalan air kepada enam juta penduduk Selangor dan Kuala Lumpur yang dicemari logam berbahaya kepada manusia.

Laporan bertajuk Mudahnya Menggugur Anak membawa tuah kepada wartawan Shahren Yusri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kajai pada 2006. Anugerah itu sekali lagi menjadi milik Kosmo! pada April lalu menerusi karya bertajuk Selangor Diancam Pencemaran Kilang Plastik oleh wartawan Luqman Ridhwan Mohamed Nor dan Ahmad Mustakim Zulkifli.

Sebagai warga Kosmo!, perkara yang paling memberi kepuasan kepada kami adalah apabila melihat akhbar ini dapat menemui pembaca keesokan harinya dengan cerita-cerita terbaik, selain naskhah ini dibeli dan dibaca oleh seberapa ramai orang.

Di sebalik semua itu, Kosmo! akan te­rus menyelami kisah-kisah hidup rakyat Malaysia, baik yang menjanjikan ha­rapan mahupun menjadi pengajaran.