Wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menjadi mangsa rogol bapa angkatnya selepas tinggal bersama dua adiknya dengan lelaki itu sejak tahun 2004 di tiga kawasan setinggan berasingan di sekitar daerah ini selepas kedua ibu bapanya bercerai.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mangsa mendakwa dirogol oleh suspek berusia 50-an itu ketika mangsa berumur 12 tahun dengan kejadian terakhir pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa tidak melaporkan kejadian lebih awal kerana takut selepas suspek mengugut akan membunuhnya sekeluarga.

"Namun kerana tidak tahan dengan sikap suspek, mangsa membuat laporan polis pada 28 Julai lalu dan terus dirujuk ke Hospital Lahad Datu dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang giat menjalankan operasi memburu suspek.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya membantu polis sehingga suspek dapat ditangkap. - Bernama