Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, penghuni rumah kongsi terlibat terdiri daripada sembilan Orang Asli Suku Jakun, tiga warga Bangladesh dan dua warga Indonesia.

Menurut beliau, kesemua individu terbabit dikesan mengalami gejala demam, batuk dan selsema, manakala seorang pesakit mengalami gejala sesak nafas.

"Seramai lima Orang Asli berusia antara 7 hingga 32 tahun telah dimasukkan ke wad Hospital Tampin untuk rawatan dan siasatan lanjut. Dua pesakit perempuan yang dimasukkan ke wad itu merupakan ibu dan anak.
 
"Baki sembilan lagi individu diberikan rawatan pesakit luar sewaktu saringan kesihatan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di rumah kongsi itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Zainudin berkata, secara keseluruhan rumah kongsi itu didiami seramai 15 Orang Asli yang baru berpindah dari Kampung Tanjung Kelapa, Pekan, Pahang, lima warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia.

Jelas beliau, kesemua mereka dibawa menetap di rumah kongsi menyerupai sebuah rumah panjang itu untuk bekerja di sebuah ladang tembikai milik sebuah syarikat swasta sejak 5 Jun lalu.

Tambah beliau, siasatan di kawasan rumah kongsi itu mendapati keadaan bekalan air, pembuangan sampah dan kemudahan tandas berada dalam keadaan tidak sempurna.

"Beberapa sampel klinikal telah diambil dan dihantar ke makmal untuk menjalani ujian pengesahan dan keputusan dijangkakan dalam tempoh dua minggu. 

"Pihak pengurusan syarikat telah dimaklumkan supaya mengambil tindakan pembersihan dan memperbaiki keadaan tempat tinggal pekerja mereka," katanya.

Kata beliau, kejadian itu turut dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang untuk siasatan lanjut di kampung asal Orang Asli terbabit. - K! ONLINE