Pengarah Jabatan Imigeresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam tentang kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi selama hampir tiga jam itu disertai 15 pegawai dan anggota penguatkuasa telah memeriksa seramai 35 warga asing yang berkeliaran di hentian serta pekerja sekitar kawasan berkenaan.

"Daripada jumlah berkenaan seramai 14 orang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan enam perempuan ditahan selepas dipercayai telah melakukan kesalahan imigresen.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun itu kemudiannya dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah serta  Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata,  hasil daripada operasi yang giat telah dijalankan selepas berakhirnya Program Pengampunan 3+1 pada 31 Ogos lalu mendapati lambakan PATI di lokasi 'hotspot' atau tumpuan terutamanya di sekitar bandar Klang mengalami penurunan 

Bagaimanapun katanya, operasi berterusan bagi memburu saki-baki PATI yang masih ada akan tetap dijalankan dari semasa ke semasa. - K! ONLINE